Mencari rumah sewa ini bukanlah perkara yang senang terutama untuk gadis bujang yang baru hendak melangkah ke alam pekerjaan hidup jauh dari keluarga. Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan seperti lokasi, keselamatan, harga dan lengkapkan diri anda untuk pastikan kenangan duduk rumah sewa itu indah. Jadi apa tips yang boleh anda praktikkan atau ambil kira dalam mencari rumah sewa bagi wanita bujang?
1) Lokasi
Pertama sekali pastinya adalah lokasi. Lokasi! Lokasi! Lokasi! Pastikan lokasi rumah anda ke tempat kerja adalah berdekatan untuk mengurangkan masa perjalanan dan juga kos. Tapi, jika lokasi yang dipilih jauh sebab faktor kewangan, dalam situasi ni, pastikan kawasan perumahan anda berdekatan dengan sistem pengangkutan awam seperti LRT atau MRT atau kawasan parking kereta tidak menyusahkan anda jika berkenderaan sendiri. Pastikan juga Kawasan perumahan anda juga mempunyai pencahayaan yang mencukupi misalnya di laluan ke LRT, MRT atau stesen bas atau jalan masuk ke rumah.
2) Platform Sewa Rumah
Sewaktu mencari rumah sewa, pastikan anda menggunakan platform yang dipercayai ataupun menggunakan perunding hartanah atau ejen hartanah berlesen. Sekiranya anda berurusan terus dengan pemilik, pastikan anda mengetahui prosedur yang wajar supaya tidak ditipu oleh pemilik ataupun dalam kes yang berlaku kebelakangan ini, orang lain yang berpura-pura menjadi pemilik rumah. Pastikan anda meminta salinan kad pengenalan atau nama penuh mereka dan sekiranya perlu, semak latar belakang di Facebook atau LinkedIn.
3) Sewa Tidak Masuk Akal
Jika sesuatu iklan Nampak terlalu bagus untuk dipercayai, pastikan anda menyelidik dahulu dan persoalkan harga tersebut. Bandingkan harga sewaan di kawasan sama dan tengok julat harga ditawarkan. Selalunya, ianya tidak banyak beza mengikut jenis bilik atau rumah yang anda mahukan. Jangan pula membuat perbandingan antara harga sewa bilik kecil di flat dengan bilik utama di kondominium kan. Terdapat pelbagai penipuan rumah sewa. Jika soal wang sahaja boleh diselesaikan tetapi jika melibatkan keselamatan, sudah menjadi kes lain. Jadi, janganlah mengambil risiko.
4)Tengok Rumah Sebelum Mebuat Bayaran
Apabila melawat rumah pastikan anda ditemani atau memberitahu seseorang yang anda percayai tentang lokasi dan nombor telefon orang yang anda ingin jumpa. Seelok-eloknya lakukan proses ini pada siang hari supaya anda boleh lihat dengan lebih jelas keadaan rumah dan menjaga keselamatan anda. Malah, kadang- kadang ada iklan sewa mungkin menggunakan gambar rumah lama, dan keadaan rumah tersebut mungkin berbeza seperti langit dan bumi! Jadi, gunakan masa lawatan anda dengan sebaik mungkin. Cari sebarang cacat-cela yang memang ada di rumah tersebut tetapi paling penting jika ada apa-apa yang mencurigakan, segeralah beredar dari tempat tersebut. Waktu lawatan ini sangatlah penting. Buat senarai akan sebarang kerosakan yang memang ada dalam rumah tu. Ini kerana, anda boleh meminta tuan rumah membaiki segala kerosakan sebelum anda berpindah masuk, jadi tidaklah anda dituduh sebagai punca kerosakan pula, tidak pasal-pasal hilang deposit sewa kerana anda tiada bukti. Setelah tamat lawatan bersama ejen atau pemilik rumah, anda juga boleh melawat lokasi sama pada waktu malam secara rawak untuk melihat keadaan sekeliling. Masa inilah masa bermanfaat untuk anda memerhati keselamatan kawasan kejiranan cukup pencahayaan atau tidak dan sebagainya. Anda juga harus ingat bahawa, jangan memberikan sebarang bayaran sebelum menandatangi perjanjian sewa! Banyak kes penipuan sewa rumah berlaku disebabkan keterdesakan penyewa untuk mencari rumah sewa.
5) Ejen Hartanah
Jika anda berurusan dengan ejen hartanah atau perunding hartanah pastikan mereka berlesen. Minta nama dan nombor pendaftaran mereka dengan Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah Dan Pengurus Harta (LPPEH). Setiap perunding atau ejen ada nombor pendaftaran masing-masing. Bila dah dapat nombor tu, boleh semak di laman web LPPEH tengok sahih ataupun tidak. Sistem LPPEH ini canggih, kad ejen siap ada hologram, jadi kalau ada nama mereka dalam sistem, memang sahih la mereka berdaftar. Sekiranya mereka gagal memberikan maklumat ini, angkat kaki sahajalah dan cari ejen lain.