SEWA SENDIRI ATAU TINGGAL DENGAN MAK AYAH SEWAKTU FASA AWAL KERJAYA?

Selalunya, orang akan beranggapan bahawa mereka yang semasa waktu bujang sudah biasa hidup bersendirian lebih cepat matang apabila sudah berumah tangga. Duduk dengan mak ayah ni memang boleh dikatakan satu nikmat. Dapat berjimat tu perkara paling ketara. Dah besar panjang pun mak masih nak masakkan untuk kita, itulah naluri seorang ibu. Lagi dahsyat ada yang sampai mak pun masih basuhkan baju-baju busuk kita tu. Tapi sampai satu tahap, kita kena keluar juga dari zon selesa untuk kenal realiti hidup sebenar. Bukan apa, takut nanti terkejut bila dah kahwin baru sedar macam-macam yang perlu dihadapi dan tanggungan yang ada. Ingat, pengalamanlah cikgu terbaik untuk anda. Rugi kalau kita tak cari pengalaman ni sebelum menempuh alam yang lebih mencabar. Pengalaman berdikari yang sangat berharga korang boleh dapat ini akan berguna seumur hidup.

 

Belajar urus & simpan duit

Antara komitmen terbesar semasa waktu bujang adalah kos tempat tinggal. Tak salah untuk cari tempat tinggal paling murah, tapi kena seimbangkan dengan emosi anda sebagai seorang manusia juga. Anda harus belajar untuk menetapkan prioriti untuk dahulukan perkara-perkara yang lebih penting seperti bayaran duit sewa bilik, kos utility dan kos barangan dapur. Kalau dulu boleh berjoli setiap minggu, lepas ni kenalah catu sikit sebab sudah mempunyai komitmen lain.

 

Networking & berkawan dengan orang yang positif

Satu kekurangan ketara ada pada anak muda di masa sekarang adalah kemahiran bersembang dengan orang lain. Korang percaya tak kadang-kadang peluang emas yang kita dapat boleh raih dari jaringan kenalan kita? Contohnya jika anda nak dapat peluang kerja yang lebih bagus boleh jadi rujukan dari kenalan kita sendiri. Inilah nilai tersirat yang kita tak nampak. Suasana di unit sewa akan menjadi lebih meriah jika anda mendapat teman serumah yang mempunyai satu mindset yang sama seperti anda. Seterusnya akan dapat menggalakkan anda berjumpa ramai kawan positif seperti anda.

 

Pandai jaga diri & berdikari

Dah duduk sendiri ni, sudah tidak ada lagi mak ayah yang akan bebel kita macam-macam. Tapi percayalah setiap bebelan mak ayah itu adalah kerana mereka sayangkan dan nak jaga kita dari ditimpa sebarang jenis kesusahan. Jadi, nak tak nak anda kena belajar juga jaga diri sendiri. Walaupun anda boleh keluar sesuka hati ketika menyewa, pastikan anda tahu had dan batas anda.

 

Belajar empati kepada orang lain

Walaupun anda tidak berkongsi bilik, masing-masing ada hak privasi mereka, dan inilah factor yang boleh mengajar anda untuk menghormati dan melahirkan perasaan empati terhadap orang lain. Contohnya ruang makan, ruang tamu dan bilik air adalah beberapa ruang yang perlu dikongsi dengan housemate lain. Percayalah segala masalah boleh selesai jika ada komunikasi. Jika anda sudah pupuk kemahiran ni dalam diri anda, percayalah bahawa tidak kira anda pergi ke pelusuk dunia mana sekali pun, anda pasti boleh bertahan.

 

Belajar bina pendapatan tambahan

Ok yang terakhirnya pastilah anda takkan lah nak menyewa sampai bila-bila kan? Mesti nak ada rumah sendiri, nak kahwin lagi. Semua tu perlukan komitmen tambahan. Oleh itu, anda perlulah didik diri sendiri dan belajar mengenai kewangan, pelaburan dan buat duit ekstra untuk tingkatkan pendapatan anda.

Leave a Comment

Your email address will not be published.