Semut di bilik ni memang boleh buat naik darah! Sebabnya tak boleh langsung tinggal makanan tak tertutup, cepat je semut harung. Lebih-lebih lagi makanan atau minuman manis, memang kesukaan semut.
Kalau anda nak tahu, semut adalah kategori serangga sosial, maksudnya ia hidup dalam kumpulan! Jarang sangat la kita nampak semut sekor, mesti dengan kaum kerabatnya. Sebab tu, sampai ada orang yang bela semut tau! Semut ni juga terkenal dengan semangat kerja berpasukan. Memang bekerjasama mencari makanan untuk dibawa ke sarang atau busut mereka untuk santapan si ratu.
Cara Komersial Halau Semut?
Bila tengok banyak semut di bilik atau persekitaran bilik, memang rasa geram. Bahaya pun ada, sebab gigitannya kalau terkena kanak-kanak memang boleh buat mereka meraung kesakitan. Jadi, kenalah cari untuk halau semut ni. Paling senang, tentulah cara komersial sebab telefon je, orang datang selesaikan masalah semut di bilik kita. Tapi, kenalah keluarkan belanja sikit sebab kos upah tenaga profesional ni agak besar juga.
Di Malaysia ni, banyak syarikat perkhidmatan kawalan haiwan perosak, contohnya Rentokil, Ridpest, Speedy Pest Control dan banyak lagi yang anda boleh cuba. Kalau boleh dapatkan servis dari syarikat kawalan haiwan perosak, memang sangat bagus sebab mereka memang profesional dalam menghapuskan semut, ataupun serangga lain. Selain selesaikan masalah semut, mereka juga boleh kenal pasti jenis semut yang ada di bilik anda, dan terus rancang cara terbaik untuk menghapuskannya. Tenaga profesional ni juga selalunya menawarkan pakej penjagaan berkala, mereka akan datang bilik untuk periksa sama ada masalah serangga perosak seperti semut masih ada. Jadi, anda hanya perlu goyang kaki tapi kena bayar la…
Pernah dengar tak yang semut-semut ni bekerja keras untuk permaisuri mereka, jadi selagi pemaisuri tu ada, selagi tu semut lain akan ada. Jadi, sangat penting untuk pakar pengawal serangga perosak ni untuk cari puncanya sebelum hapuskan semua semut tu dengan berkesan.
Apakah Cara Tradisional Halau Semut?
Kadang-kadang kalau nak senang, spray je racun aerosol untuk bunuh serangga perosak. Cuma nak guna di kawasan dapur ke atau tempat ada kanak-kanak, agak bahaya la kan.
Lebih-lebih kalau anda nak guna racun semut yang saiznya kecil dan seperti gula-gula tu. Bimbang ditelan anak sebab ingatkan makanan. Nak guna profesional mahal, nak guna racun semut bahaya, macam mana ni? Jadi, seperti zaman dulu, ada lah petua tradisional yang boleh diguna pakai oleh sesiapa yang nak halau semut di bilik.
Kalau tengokkan petua nak halau semut ni, memang banyak betul sampai tak tau nak pilih yang mana satu. Tak nak buang masa lagi, jom kita tengok beberapa petua halau semut secara tradisional yang kami jumpa ni! Petua nak halau semut ni tak susah nak buat sebab guna benda-benda yang memang selalu ada di bilik, kalau tak ada pun, senang sangat nak pergi beli kat mana-mana pasaraya atau kedai runcit.
1) Kulit telur
Lepas dah pecahkan telur ayam, jangan buang kulitnya sebab boleh guna untuk halau semut. Caranya senang je, hancurkan kulit telur dan bakar sampai jadi abu. Abu tu anda tabur di tempat semut selalu berkerumun, laluan semut, atau nak tabur terus pada sarang semut pun boleh.
2) Dauh sirih
Semut memang tak suka dengan bau daun sirih. Potong kecik-kecik beberapa daun sirih, dan tabur di laluan semut atau tempat ia selalu berkerumun. Bila dah bau daun sirih ni, gerenti semut akan pergi main jauh-jauh.
3) Soda bikarbonat
Soda bikarbonat ni dah tak payah campur apa-apa. Tabur je serbuk soda bikarbonat di tempat yang anda tak nak semut datang. Disebabkan bau dari soda bikarbonat tu akan mengganggu deria bau semut, semut tu tak akan berkerumun dah.
4) Serbuk kopi
Yang ni, kena pastikan guna serbuk kopi yang asli, sebab baunya yang kuat boleh menghalau semut dari menghurung makanan yang ada kat bilik anda. Caranya, ambil sikit serbuk kopi dan letak di tempat laluan masuk semut. Biar je serbuk tu di situ beberapa hari dan anda akan nampak hasilnya. Tiada lagi semut di situ!
5) Cuka
Cuka putih ni salah satu petua yang sangat berkesan sebab semut paling pantang dengan baunya yang kuat, dan kandungan cuka yang berasid tu. Larutkan cuka dalam air, dan masukkan dalam botol spray tu. Dah siap, sembur je kat mana-mana pintu masuk atau tempat selalu ada semut. Ulang beberapa kali lepas semburan tu dah kering, dan kesannya boleh nampak dalam beberapa hari selepas semburan.