Hendak mencari penyewa yang benar-benar sesuai semestinya sangat susah, tapi bukanlah perkara yang mustahil. Anda boleh mengupah ejen hartanah, membuat pemeriksaan kewangan dan tingkah laku penyewa, menemu bual penyewa, memilih penyewa berdasarkan demografi, dan jangan terburu-buru ketika proses memilih penyewa! Sekiranya anda mengenali sesiapa yang pernah menyewakan hartanah sebelum ini, pastinya anda telah mendengar seribu satu kisah tentang penyewa dari neraka. Semua tuan rumah memang ingin mempunyai penyewa yang baik dan membayar sewa tepat pada waktunya, menjaga rumah dengan elok dan bersopan dari segi tingkah laku. Tetapi, tugas mencari penyewa yang sempurna bukanlah mudah, walaupun ianya tidak mustahil. Jadi, kami telah menyediakan beberapa langkah anda boleh lakukan sebelum menyewakan hartanah anda yang bernilai itu.
-
Upah Ejen Hartanah Yang Berlesen
Ejen hartanah adalah golongan profesional yang mengendalikan semua perkara yang berkaitan dengan hartanah. Mencari penyewa yang sesuai memang boleh tahan susahnya juga, itulah sebabnya anda memerlukan kemahiran dan pengaruh ejen untuk menghubungkan anda dengan bakal penyewa. Selain arif dan mempunyai banyak pengetahuan dalam pasaran hartanah, ejen juga boleh memberitahu anda maklumat mengenai trend pasaran terkini memandangkan harga sewa memang mudah naik dan sering berubah mengikut situasi semasa. Manfaatnya untuk anda adalah anda boleh memperolehi harga sewa terbaik untuk ditawarkan kepada bakal penyewa. Selain itu, ejen juga boleh merundingkan harga sewa bagi pihak anda dan menyelesaikan semua prosedur undang-undang. Jadi anda tidak perlu khuatir dengan masalah yang mungkin timbul di kemudian hari.
2. Periksa Status Kewangan Bakal Penyewa
Terdapat dua pemeriksaan kewangan yang boleh anda lakukan iaitu:
a) Pemeriksaan pendapatan
Data kewangan yang dikumpul akan menunjukkan sama ada seseorang itu stabil dari segi kewangan dan mampu membayar sewa pada waktu yang ditetapkan. Anda juga boleh meminta penyata bank dalam tempoh tiga hingga enam bulan terakhir daripada mereka sebagai bukti kewangan. Malah, anda boleh menghubungi majikan mereka untuk mengesahkan gaji bakal penyewa. Secara umumnya, pendapatan kasar bulan penyewa haruslah sekurang-kurangnya tiga kali ganda dari kos sewa.
b) Pemeriksaan kredit
Untuk melakukan pemeriksaan kredit, anda boleh mengupah syarikat pemeriksaan kredit, Mereka boleh membantu anda dalam membuat keputusan yang lebih baik. Pemeriksaan kredit adalah penyataan sejarah hidup seseorang sekaligus dapat mendedahkan butiran sama ada mereka pernah diusir dari rumah sewa sebelum ini ataupun tidak, pernah berhadapan penghakiman sivil, atau diisytihar bankrap.
3. Periksa Perangai Penyewa
Selain menyelidik kemampuan kewangan bakal penyewa, anda juga disarankan untuk menyelidik tingkah laku dan keperibadian mereka. Contohnya, anda mungkin ingin tahu sama ada bakal penyewa adalah seorang yang bertanggungjawab, atau seseorang yang acuh tidak acuh dengan peraturan asas rumah. Anda boleh melakukan pemeriksaan latar belakang dengan menghubungi tuan rumah terdahulu untuk mengetahui perangai dan sikap bakal penyewa. Semua maklumat yang anda terima pastinya sangat berguna.
4. Buat Saringan Latar Belakang Penyewa
Saringan bakal penyewa adalah semakan latar belakang komprehensif bakal penyewa hartanah anda. Biasanya, tuan rumah mengupah perkhidmatan pemeriksaan luaran untuk melakukan tugas ini. Pemeriksaan ini akan mendedahkan perkara seperti rekod perubatan, jenayah dan rekod komersial seseorang (jika ada) serta sejarah pekerjaan. Sebagai alternatif, anda boleh mengaturkan sesi temubual tidak rasmi dengan bakal penyewa anda. Pastikan anda menanyakan soalan-soalan yang penting seperti sebab hendak menyewa dan lain-lain maklumat. Gunakan pertemuan ini sebagai peluang untuk mengenali dengan lebih dekat lagi bakal penyewa anda sebaik mungkin. Sekiranya dia sesuai dengan kriteria dikehendaki anda, perhubungan anda dan penyewa akan kekal erat, maka senanglah untuk berhubung dan berkomunikasi nanti.
5. Tentukan Demografik Penyewa Anda
Jika anda pernah mengalami pengalaman buruk menyewakan rumah/bilik kepada pelajar misalnya, pastinya anda tidak hendak pisang berbuah dua kali kan? Jadi ada baiknya anda menyenarai pendekkan calon penyewa anda berdasarkan demografi pilihan yang pasti akan membantu anda dalam proses pemilihan. Mungkin selepas ini anda boleh mempertimbangkan untuk menyewakan kepada pasangan bekerja yang sebaya dengan anda. Mana tahu, ianya lebih sesuai atas sebab kerana gaya hidup mereka dan pemikiran mereka yang lebih matang. Tetapi, hati-hati, janganlah sampai meletakkan demografik penyewa sehingga menyebabkan diskriminasi berlaku kepada orang lain pula!
6. Jangan Cepat Buat Keputusan
Memandangkan orang asing akan tinggal di dalam hartanah anda untuk jangka masa yang panjang, anda perlu memastikan unit anda disewakan kepada seseorang yang anda benar-benar selesa, jadi anda haruslah berfikiran rasional ketika memilih bakal penyewa. Buat tapisan seorang demi seorang, dan ambillah masa dalam memilih penyewa anda. Apabila melibatkan penilaian calon, tidak rugi untuk anda mengenal pasti faktor yang boleh menyebabkan perjanjian sewa rumah anda terbatal, agar anda boleh bersedia dengan sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku pada masa hadapan.