JENIS LAMPU UNTUK PENCAHAYAAN TEPAT DI KAWASAN BERBEZA DI DALAM RUMAH.

Setiap ruang kediaman memerlukan teknik pencahayaan yang mempengaruhi perbezaan mood dan suasana. Mari kita kenal pasti pemilihan lampu dan fungsi jenis-jenis lampu yang boleh digabung dan boleh digunakan secara lebih efektif mengikut keperluan di setiap ruang! Pencahayaan ruang di kediaman bukanlah terhad hanya kepada jenis mentol LED atau lampu kalimantang. Ada pelbagai jenis rekaan lagi yang berbeza kegunaannya seperti lampu bawah (downlight atau recessed lights), lampu gantung (chandelier) dan lampu sorot (track lighting atau spotlight) yang sesuai dijadikan pilihan untuk kediaman anda. Mungkin nama-nama jenis lampu ini mengelirukan anda, tetapi gabungan dan panduan tips yang diberikan ini akan lebih memudahkan anda memilih pencahayaan terbaik bagi setiap sudut ruang kediaman:

 

LAMPU HIASAN RUANG TAMU

Ruang tamu adalah ruang yang menjadi fokus utama di setiap kediaman untuk berkumpul dan meluangkan masa bersama keluarga. Pelbagai aktiviti yang dilakukan seperti menonton filem, makan malam bersama ataupun melayan tetamu sudah semestinya memerlukan pencahayaan yang sesuai untuk menciptakan suasana ceria dan selesa.

 

Kipas Siling Berlampu: Kipas siling kini didatangkan bersama set lampu yang dapat menerangi ruang tamu agar fungsinya lebih efektif. Meskipun tidak digalakkan untuk dijadikan sumber pencahayaan yang utama, tetapi ia boleh dipertimbangkan jika anda mahu lebih selesa dengan cahaya samar-samar dan tidak terlalu terang ketika menonton filem atau siri TV kegemaran anda.

 

Lampu Downlight: Lampu jenis ini adalah jenis lampu siling, dan biasanya dipasang dipermukaan siling. Lampu ini sering menjadi pilihan ramai malah turut popular terutamanya dipasang di ruang tamu. Tambah lagi, dengan kemasan plaster ceiling yang semestinya menarik perhatian kerana teknik pemasangan mentol lampu nampak lebih kemas dan tidak serabut serta menganggu pandangan.

 

Bergantung kepada inner baffle yang digunakan, lampu siling downlight mampu menghasilkan pantulan cahaya dengan menerangi keseluruhan ruang ataupun dihalakan ke bawah atau sisi terus kepada objek berdimensi seperti lukisan berbingkai, kabinet pameran atau ruang letak televisyen.

 

Lampu Berdiri: Bagi ruang tamu yang luas, pastinya pencahayaan diperlukan lebih spesifik terutamanya di ruang membaca. Lampu berdiri dan lampu meja adalah pilihan yang terbaik. Lampu jenis ini mampu menghasilkan pencahayaan bagi persekitaran lebih selesa tanpa menggunakan tenaga eletrik yang berlebihan.

 

LAMPU BILIK TIDUR

Lampu bilik tidur perlu mewujudkan suasana harmoni dan tenang. Bersesuaian dengan fungsinya sebagai ruang peribadi, lebih banyak waktu digunakan untuk berehat menghilangkan penat dan stress. Pendapat pakar mengatakan bahawa pencahayaan malap dan tidak terlalu terang adalah suasana terbaik untuk bilik tidur. Sebaliknya, lampu berwarna putih dan terang seperti lampu kalimantang boleh menyebabkan tidur anda terganggu.

 

Lampu Dinding: Selain menambah personaliti kepada persekitaran dalam bilik tidur, lampu dinding di bilik tidur berfungsi menerangi setiap bahagian ruang tertentu dan membekalkan cahaya yang cukup.

 

Kipas Siling Berlampu: Sama seperti penggunaan di ruang tamu, kipas siling berlampu di bilik tidur memberi fungsi dua dalam satu dan boleh juga dijadikan sumber utama pencahayaan untuk bilik tidur. Biasanya, ia juga turut dipasang bersama lampu pelbagai fungsi yang membantu memberikan mood yang sesuai dalam bilik tidur anda.

 

Lampu Downlight: Lampu jenis ini adalah pilihan paling selamat. Tetapi, harus dipastikan terlebih dahulu pemilihan mentol agar tidak terlalu terang malah perlu bersesuaian dengan keperluan bilik tidur anda.

 

 

DAPUR

Selain ruang tamu, dapur juga adalah sebahagian ruang kediaman yang sangat penting kerana ianya tempat tumpuan keluarga dan sahabat handai berkumpul sambil berbual mesra dan makan bersama. Pemilihan sumber pencahayaan bagi ruang ini haruslah sesuai untuk melakukan aktiviti seperti memasak bagi mewujudkan suasana yang santai.

 

Lampu Sorot: Lampu sorot (track lighting) menjadi pilihan utama bagi aktiviti di ruang dapur kerana memerlukan banyak sorotan cahaya dan lebih focus. Kelebihan utama penggunaan lampu sorot adalah kerana fungsinya yang sangat fleksibel. Kepalanya mudah alih dan boleh dilaraskan untuk menukar titik tumpu cahaya, sama ada terus di tengah-tengah kitchen island, bahagian dapur memasak atau di sinki.

 

Lampu Gantung: Pilihan lampu jenis ini yang dikenali sebagai pendant lighting biasanya dipasang tergantung dari siling menggunakan tali atau rantai besi. Lampu gantung yang dipasang di atas kitchen island mampu memberikan elemen deko dan menambahkan personaliti kepada ruang dapur anda.

 

RUANG MAKAN

Satu lagi ruang kediaman yang sering menjadi tumpuan adalah ruang makan. Pencahayaan betul harus dititikberatkan terutamanya ketika ahli keluaga berkumpul di meja makan. Pemilihan lampu malap atau penggunaan penyelaras dimmer dapat membantu mewujudkan persekitaran mengikut kesesuaian seperti yang anda inginkan.

 

Lampu Chandelier: Ruang makan adalah bahagian kediaman yang paling sesuai untuk penggunaan lampu chandelier. Pemilihan lampu yang klasik atau moden dapat memberikan sentuhan ruang makan supaya tampak lebih mewah dan versatil. Satu perkara penting harus diberikan perhatian ketika proses pemasangan: pastikan bahagian bawah lampu chandelier anda berada 30 hingga 35 inci dari aras permukaan meja.

 

Lampu Downlight: Lampu Downlight dipasang di sudut dinding untuk mewujudkan titik sempadan yang mengelilingi lampu chandelier. Fungsinya adalah menerangi ruang bila diperlukan dan memberi pencahayaan tambahan untuk semua ruang utama.

Leave a Comment

Your email address will not be published.