Lebih Baik Jika Sewakan Bilik Kepada Kawan atau Keluarga?

Jika anda memiliki rumah anda sendiri, pasti anda berfikir tentang menyewakan bilik tidur yang kosong untuk meningkatkan pendapatan bulanan anda. Selalunya, ramai yang berpendapat bahawa menyewakan unit mereka kepada rakan atau saudara mara adalah lebih baik daripada mencari penyewa dengan menyiarkan iklan di surat khabar mahupun di laman web rumah sewa. Menyewakan bilik kepada rakan dan ahli keluarga yang anda kenali mungkin kelihatan seperti idea yang bernas tetapi ia mungkin akan menyukarkan proses anda untuk mengutip sewa dan jika anda tidak berhati-hati, boleh menyebabkan kesulitan jika berlaku pergaduhan membabitkan isu sewa dan memberi impak buruk kepada hubungan anda bersama mereka. Jadi kami ingin menjelaskan di sini akan knosep menyewakan bilik Kepada kawan atau keluarga anda.

 

Berkomunikasi secara langsung.

Komunikasi di antara rakan atau ahli keluarga yang menyewa bilik di rumah anda pastinya lebih sukar daripada berkomunikasi dengan penyewa yang tidak mempunyai hubungan peribadi dengan anda. Ini kerana, hubungan peribadi antara anda dengan penyewa anda boleh menjadi tegang di dalam situasi yang berbeza, terutamanya jika berlaku masalah yang menganggu ketenteraman kedua-dua pihak.

Jika ada ketegangan yang berlaku semasa perbincangan mengenai bilik sewa, anda bukan sahaja perlu memikirkan tentang penyelesaian terhadap masalah tersebut, tetapi juga memastikan tidak ada pihak yang terguris dengan kata-kata anda. Oleh itu, sentiasalah menggunakan nada yang sopan ketika berbincang dengan penyewa yang juga merupakan kenalan rapat anda. Ingatkan mereka mengenai bayaran sewa seminggu sebelum tarikh membayar sewa agar tidak ada kecuaian yang berlaku dari pihak rakan atau ahli keluarga anda.

Selain itu, anda juga perlu mengetepikan segala isu lain ketika membincangkan masalah bilik sewa dan elakkan mengaitkan isu bayaran sewa semasa perbualan mesra bersama rakan. Pertimbangkan strategi apa yang paling sesuai untuk digunakan oleh anda untuk mendapatkan respons yang baik daripada rakan anda jika mereka selalu berdolak dalih apabila anda menyuarakan mengenainya bayaran sewa pada hujung bulan. Elakkan memberi hutang “duit sewa” kepada mereka kerana perbuatan ini akan memakan diri anda sendiri. Kesannya, anda terpaksa menangguhkan bayaran rumah anda kepada pihak bank kerana gagal mengutip sewa.

 

Ketahui Hak Anda dan Penyewa.

Seperti yang kita semua tahu, pemilik dan penyewa rumah mempunyai hak mereka yang tersendiri. Pemilik mempunyai sepenuh hak untuk mengusir penyewa jikalau mereka gagal membayar sewa. Undang-undang ini digunakan tanpa mengira siapa penyewa anda sama ada mereka kenalan anda ataupun bukan. Namun, pengusiran penyewa perlulah dilakukan mengikut cara yang betul.

 

Tetapkan Peraturan dan Sediakan dalam Bentuk Kontrak.

Penyewa tidak boleh beranggapan bahawa dengan membayar sewa,mereka dapat melakukan apa sahaja yang mereka mahukan tanpa memikirkan batas. Perkara ini akan membuatkan mereka naik kepala dan bersifat agresif di dalam rumah walaupun hanya tinggal sebagai seorang penyewa. Oleh itu, tetapkan peraturan yang berbeza untuk ahli keluarga anda dan juga kenalan anda yang menyewa bilik di rumah anda. Pertimbangkan segala isu seperti perkongsian bil elektrik dan air, keperluan dapur dan lain-lain sebelum sesiapa berpindah masuk ke rumah anda. Sebagai contohnya, tetapkan peraturan umum yang menyatakan penyewa anda tidak boleh membawa pulang kawan ke rumah anda selepas 10 malam.

Anda juga boleh mengenakan peraturan mengenai ruang tempat letak kereta di jalan masuk rumah. Pastikan segala peraturan yang ditetapkan telah ditulis di dalam kontrak perjanjjian sewa dan kedua-dua pihak harus menandatangani perjanjian sewa tertulis ini selepas menyetujui segala perkara yang termaktub di dalamnya. Mempunyai kontrak bertulis, walaupun secara tidak formal, adalah cara yang terbaik untuk menyelesaikan isu yang mungkin timbul di antara kedua-dua pihak dan memudahkan mana-mana pihak untuk merujuk perjanjian ini jika berlaku masalah.

Leave a Comment

Your email address will not be published.