Ramai tuan rumah melakukan kesilapan kerana mereka melakukan tidak mengikuti cara sewakan rumah dengan teknik yang betul.
Kebanyakan tuan rumah gagal dalam bisnes penyewaan rumah bukan sebab mereka tiada pengalaman atau tidak kompeten.
Percaya tak kalau kami katakan:
Ia bermula dari persediaan yang mereka lakukan (dari segi fizikal dan mental) untuk mengharungi segala cabaran yang bakal dihadapi ketika tempoh sewaan bermula.
Untuk menjadi seorang tuan rumah bukan hanya sekadar memiliki rumah dan menyewakan kepada orang luar sahaja. Ia lebih dari itu. Jika tidak, semua orang pun boleh menceburi bidang ini.
Walaupun begitu, anda tidak perlu rasa tertekan apabila ingin menjadi seorang tuan rumah kerana bukan semua buruk-buruk belaka. Malah, menjadi tuan rumah boleh menjadi pendapatan anda yang utama sekiranya anda betul-betul uruskan rumah sewa anda secara efisien dan efektif.
Sebagai seorang pelabur hartanah, sangat mudah untuk seseorang leka dengan tugas harian dalam memastikan pengurusan rumah sewa berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
Tetapi:
Selain daripada mempunyai alat perlindungan seperti surat perjanjian sewa rumah, tuan rumah perlu sentiasa mengasah dan mengembangkan ilmu mengenai penyewaan rumah. Dalam artikel ini, kami akan mendedahkan beberapa rahsia kejayaan sebagai seorang tuan rumah dan cara sewakan rumah sewa yang anda patut contohi untuk jadikan sewaan anda stress-free.
1. Jadikan Komunikasi Sebagai Kekuatan Utama
Pertama sekali hasilkan sistem pengurusan untuk semua perkara berkaitan rumah sewa anda. Sistem pengurusan ini memudahkan proses komunikasi, iaitu ia dapat mengurangkan anda melakukan perkara yang sama berulang kali.
Contohnya, gunakan laman web pengurusan rumah sewa untuk memudahkan anda menguruskan sewaan anda.
Anda boleh memuat naik borang permohonan menjadi penyewa, permohonan penyelenggaraan, atau lain-lain borang yang anda perlukan daripada penyewa.
Jadi, sekiranya penyewa atau bakal penyewa ingin membuat permohonan, anda hanya perlu kongsikan URL laman web anda kepada mereka. Ia bakal memudahkan kedua-dua belah pihak.
Anda boleh gunakan pembina laman web yang percuma seperti Wix.com untuk membina sebuah sistem pengurusan secara online untuk rumah sewa anda.
2. Tuan rumah Yang Berjaya Tidak Berlengah-Lengah
Tuan rumah yang berjaya menyelesaikan sesuatu perkara apabila sesuatu perkara tersebut perlu diselesaikan.
Pada masa yang sama, mereka cekap dan berpengalaman untuk ketahui tugasan mana yang perlu diutamakan terlebih dahulu berbanding yang lain.
Memiliki disiplin dalam melaksanakan tugasan sebagai seorang tuan rumah adalah kunci kejayaan di dalam bidang pengurusan rumah sewa ini.
Antara cara sewakan rumah sewa anda tanpa melengahkan sesuatu masalah adalah dengan sentiasa memberi respon kepada apa jua permintaan penyewa.
Namun, pada awal penyewaan, pastikan anda telah menetapkan peraturan bahawa hanya memberitahu perkara yang kritikal sahaja kepada tuan rumah. Dengan cara ini, anda boleh mengawal penyewa daripada mempergunakan anda.
3. Mengikuti Perkembangan Dan Selalu Ambil Tahu Setiap Perkara Berkaitan Dengan Pengurusan Rumah Sewa.
Sentiasa mendapatkan maklumat yang terbaru dari segi peraturan dan undang-undang, kadar sewa tempatan dan trend baru yang berkaitan dengan rumah sewa.
Ini bagi memastikan anda tidak dipermainkan oleh penyewa yang seolah-olah kelihatan lebih cerdik daripada anda.
Sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan penyewa pelbagai ragam dengan mempersiapkan diri dengan ilmu dan perkembangan industri yang terkini.
4. Bersikap Positif
Mengambil kira apa yang akan anda hadapi setiap hari dengan menguruskan penyewa yang pelbagai ragam atau rumah sewa yang penuh dengan masalah, anda perlulah kekal positif, iaitu berfikiran “Aku boleh buat” sepanjang masa.
Bukan sahaja anda bakal menghadapi salah faham di antara anda dengan penyewa, tapi anda kena sentiasa tenang dan positif apabila pasaran rumah sewa tidak berjalan seperti apa yang anda harapkan.
5. Cipta Sistem Tapisan Penyewa
Untuk mengelak sebarang isu di antara anda dan penyewa di masa hadapan, anda perlu satu sistem iaitu dengan menilai dan mencari penyewa yang berkualiti.
Sistem tapisan ini membantu anda membuang semua bakal penyewa yang berpotensi mendatangkan masalah dan hanya mengambil mana-mana yang berkualiti sahaja.
Penyewa perlu memberikan anda segala informasi mereka khususnya informasi berkaitan pekerjaan dan sejarah sewaan supaya anda boleh membuat penilaian yang sewajarnya.
Pekerjaan menentukan keboleh-bayaran mereka pada duit sewa rumah anda dan sejarah sewaan menentukan keupayaan mereka untuk menjaga rumah sewa anda dengan baik.
6. Berinteraksi Dengan Penyewa
Tuan rumah yang berjaya tahu betapa pentingnya untuk mempunyai hubungan yang jujur dengan penyewa.
Kenali penyewa anda secara peribadi.
Luangkan masa dengan berinteraksi dengan individu yang menghuni di rumah sewa yang anda uruskan.
Anda mungkin akan terkejut dengan hasil yang anda dapat walaupun hanya bertegur sapa secara ringkas sahaja.
Tuan rumah boleh tingkatkan penglibatan bersama penyewa dengan cara:
- Tetapkan strategi untuk beramah mesra bersama penyewa
- Ketelusan adalah sasaran yang utama
- Selaraskan tujuan beramah mesra dengan objektif bisnes
- Latih pekerja anda untuk memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi yang konsisten.