Kebanyakan orang sarankan kalau nak sewa tempat tinggal, pastikan tidak lebih daripada 30% gaji anda. Jika lebih, boleh buat lari bajet bila hujung bulan nanti. Sebenarnya tak ada satu ‘ubat’ pun yang sesuai untuk setiap orang. Masing-masing ada gaya hidup dan latar belakang serta komitmen yang berbeza. Kita ambil contoh orang yang bergaji RM2,500. Kalau 30% untuk sewa, dah jadi RM750. Untuk yang masih bujang logik lagi, kalau untuk yang dah bebilik tangga, mungkin akan mengalami kesulitan apabila menguruskan perbelanjaan yang lain. Ada ke sewa banyak tu sekarang ni? Ada je. Kalau yang masih bujang tu mungkin boleh pertimbangkan sewa bilik. Tapi, ada faktor lain yang perlu anda ambil kira bila nak peruntukkan bajet untuk sewa seperti:
- Bil elektrik
- Bil air
- Bil wifi
- kos penyelenggaraan
- kos beli perabot dan peralatan bilik
- kos baiki peralatan bilik dan sebagainya.
Nampak? Tak semudah hanya fikirkan kadar sewa semata sahaja. Silap-silap bila tambah semua tu boleh jadi lebih 50%! Kalau macam ni, sampai bila kita nak boleh menyimpan kan? Tak hairanlah kajian yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan 49.2-71.4% respondan hanya mempunyai simpanan untuk membiayai kos sara hidup selama sebulan. Manakala 2.4-5.5% respondan sahaja mempunyai simpanan cukup untuk menampung belanja hidup selama 6 bulan. Jangan risau, setiap masalah ada penyelesaiannya.
- Konsep 50-30-20
Salah satu cara yang popular ialah pembahagian gaji ikut nisbah 50-30-20.
Selalunya 50% digunakan untuk membayar keperluan seperti sewa, makanan, dan bil,30% untuk keinginan seperti hiburan, dan 20% disimpan sebagai simpanan. Akan tetapi kesesuaian bajet ini bergantung kepada individu. Mungkin kos tetap seperti bilik/rumah dan perbelanjaan anak-anak dah mengambil 70% daripada gaji. Apapun situasi anda, utamakan simpanan dana kecemasan yang boleh menampung belanja bulanan selama 3-6 bulan.
- Simpan dulu, baru belanja
Cara yang paling realistik adalah anda simpan siap-siap, selebihnya barulah digunakan untuk belanja. Tidak kira sikit mana pun anda nak simpan, yang penting konsisten setiap bulan. Jika peruntukan 20% besar atau tak cukup untuk buat simpanan, mulakan dengan 10%. Benda ni nampak kecil, tapi percayalah pada keajaibannya nanti. Tanpa anda sedar, anda dah ada simpanan ribuan ringgit. Jangan fikirkan sangat jumlahnya, fokus pada proses untuk pupuk tabiat menyimpan tu.
- Belanja tetap vs belanja tidak tetap
Tahniah! Anda dah asingkan siap-siap untuk simpanan kan? Sekarang untuk belanja pula. Bahagian ni, jangan pening-pening. Senaraikan segala perbelanjaan anda setiap bulan kemudian bahagikan kepada dua, mana satu yang tetap dan mana satu yang tidak tetap. Mudahkan? Dengan cara ni, anda boleh tahu berapa jumlah komitmen bulanan yang tetap anda kena ada. Lepas tolak semua komitmen tetap yang wajib anda bayar setiap bulan, selebihnya bolehlah belanja untuk makan-makan, jalan-jalan, beli buku, tengok wayang dan macam-macam lagi.
- Tak cukup?
Lepas tolak semua belanja tetap, tinggal cukup-cukup untuk makan je. Itu biasa, semua orang hadapi benda yang sama. Bukan anda seorang. Tapi jangan korek pula simpanan yang anda dah asingkan siap-siap tu. Tibalah masa untuk anda refleksi semula setiap perkara dalam senarai belanja tetap anda tu. Mungkin ada yang boleh dipotong atau dikurangkan. Contohnya bayaran bulanan untuk penapis air, Netflix, keahlian gym dan sebagainya.
- Tambah pendapatan
Fikir untuk tambah pendapatan adalah lebih mudah daripada berjimat. Ini fakta yang kita tak boleh nafikan. Bila cakap pasal pengurusan kewangan, kebanyakan keputusan yang kita buat adalah mengikut emosi dan psikologi kita. Fikir nak berjimat sejimat-jimatnya, potong sana sini ni sebenarnya stress! Akhirnya, kita tak buat pun dan ulang benda yang sama, hujung bulan rasa tak cukup duit.
Kesimpulannya, bajet untuk sewa ni subjektif. Lain orang, lain keperluannya. Boleh jadi lebih, boleh jadi kurang daripada 30%. Yang penting simpanan tu kena buat juga ya.