TIPS SEBELUM BELI RUMAH TERES

Anda boleh bertanya kepada mana-mana rakyat Malaysia, membeli rumah teres semestinya menjadi matlamat nombor satu bagi kebanyakan orang. Walaupun pemaju kawasan perumahan semakin banyak membina bangunan tinngi atau ‘high rise buildings’ bagi penempatan namun begitu, permintaan terhadap rumah teres masih lagi kekal tinggi terutamanya daripada bakal pembeli rumah yang sudah berkeluarga. Akan tetapi semasa membeli rumah teres, ramai yang tidak mengetahui tips-tips memilih unit terbaik. Apabila menanyakan mereka sebab memilih unit tersebut, jawapan yang diberi adalah tak tahu. Yang penting rumah teres, kata mereka. Oleh itu, kami ingin berkongsi beberapa tips memilih rumah teres kepada anda.

 

  • Pilih unit tanpa rumah lain di depan

Jika anda berkemampuan, adalah digalakkan untuk memilih unit rumah teres yang tiada rumah lain di hadapan. Contoh: rumah teres yang di hadapannya ada tanah lapang, taman atau sempadan adalh pilihan yang lebih baik. Biasanya unit rumah sebegini sedikit mahal berbanding rumah teres lain. Tetapi ruang yang luas di depan rumah anda akan memudahkan urusan tetamu anda untuk memarkir kereta.

  • Pilih unit yang jauh dari jalan utama

Jikalau boleh, pilihlah unit rumah yang jauh daripada jalan utama yang sibuk dengan kenderaan. Lain ceritanya kalau kita membeli rumah shoplot. Seboleh-bolehnya kita hendak shoplot kita dekat dengan jalan utama.

  • Pilih taman perumahan yang jauh dari laluan utama

Sebelum membuat keputusan untuk membeli unit tersebut, buat kajian dahulu mengenai jalan-jalan yang menjadi laluan utama masuk-keluar dalam taman perumahan anda. Elakkan membeli rumah di taman perumahan yang berdekatan dengan jalan utama yang sibuk dengan kenderaan kerana takut ia akan mengancam keselamatan anak-anak anda.

  • Mempunyai satu jalan keluar masuk sahaja

Perkara ini penting kerana ianya dapat menjamin keselamatan rumah teres yang anda beli. Taman perumahan yang mempunyai banyak jalan keluar masuk memudahkan akses penjenayah dan menyukarkan usaha sekuriti untuk menjaga keselamatan di kawasan perumahan tersebut.

  • Elak pilih unit yang menghadap arah barat

Matahari terbenam di arah barat. Jika rumah anda menghadap arah barat, dikhuatiri ia akan jadi panas akibat pancaran matahari sebelah tengah hari dan petang. Bila rumah semakin panas, semakin tinggilah bil elektrik anda. Sebaiknya pilih rumah yang menghadap arah utara atau selatan.

  • Elak pemilihan unit yang dekat dengan sub-stesen TNB

Anda mungkin pantang duduk rumah yang dekat dengan pencawang atau sub-stesen TNB kerana bimbang dengan risiko kerosakan jika ia meletup (walaupun kes seperti ini jarang berlaku). Ada juga yang risau dengan risiko pendedahan gelombang elektromagnet (EMF). Jika anda tidak khuatir akan isu ini, anda boleh memilih unit yang berdekatan dengan fasiliti TNB tersebut.

  • Elak pilih unit yang berdepan dengan simpang

Biasanya rumah yang berdepan dengan simpang akan lebih terdedah kepada kesibukan trafik dari pagi sampai malam. Kesibukan trafik ini juga akan menyebabkan rumah anda lebih terdedah kepada pencemaran bunyi, asap dan debu.

  • Mempunyai kawalan sekuriti 24 jam

Tak dinafikan, taman perumahan yang dilengkapi dengan kawalan sekuriti 24 jam lebih selamat. Faktor ini sangat penting kerana kadar jenayah semakin meningkat setiap tahun – lebih-lebih lagi di kawasan pinggir bandar. Selain itu kehadiran sekuriti turut akan menaikkan nilai rumah pada jangka masa yang panjang.

  • Kemudahan clubhouse

Kebelakangan ini semakin banyak pemaju membina kemudahan sampingan seperti clubhouse, kolam renang dan lain-lain di taman perumahan. Kemudahan ini mungkin membuatkan rumah jadi lebih mahal, tapi ia menjamin nilai rumah kekal tinggi jika anda berhasrat untuk menjual pada masa akan datang.

  • Arah kiblat jangan menghala ke tandas

Aspek ini penting buat pemilik rumah beragama Islam. Seboleh-bolehnya sebelum membeli, periksa dahulu arah kiblat dalam rumah dengan menggunakan aplikasi Muslim Pro. Elakkan membeli unit yang arah kiblatnya menghala ke tandas. Jika dah terlajak beli, letakkan penghalang.

  • Elak kedudukan dapur di depan

Kebanyakan dapur di rumah moden ketika ini terletak di kedudukan depan rumah. Buka pintu depan rumah sahaja, dah nampak dapur. Konsep rumah sebegini agak kurang sesuai bagi keluarga Melayu Islam memandangkan dapur boleh dianggap kawasan private bagi wanita. Tapi semuanya terpulang kepada cita rasa anda. Kalau anda suka, boleh sahaja beli.

  • Pilih unit yang mempunyai tandas dalam bilik

Ada sesetengah unit rumah mempunyai tandas di dalam bilik. Ada juga yang berada di luar bilik. Sebaik-baiknya pastikan rumah anda mempunyai satu ruang bilik yang mempunyai tandas di dalamnya untuk kegunaan anak perempuan yang memerlukan lebih privasi.

  • Pilih unit corner lot

Adatlah bila beli rumah teres, unit corner lot pasti menjadi rebutan. Kadang-kadang orang sanggup beli rumah teres corner lot mahal-mahal berbanding beli rumah semi-D. Semuanya sebab unit corner lot ada tanah tambahan. Sesuai untuk dijadikan ruang bercucuk tanam atau riadah.

  • Dekat dengan masjid atau surau

Sebagai orang Islam, pastikan taman perumahan yang kita nak beli mempunyai kemudahan masjid atau surau yang berdekatan. Ini supaya kita rajin solat berjemaah. Cuma jika anda risau dengan kesesakan semasa solat Jumaat, elakkan pilih unit rumah yang berada terlalu dekat dengan masjid.

  • Periksa kewujudan serangga perosak

Memandangkan rumah teres ini berada pada aras tanah, adalah penting untuk anda periksa jika terdapat kewujudan serangga perosak. Walau sedikit pun. Contohnya seperti semut, anai-anai, tikus, nyamuk dan ulat gonggok. Jika ada, elakkan beli. Jika anda tiada pilihan lain, pastikan anda melabur sedikit kos untuk kerja-kerja menghalau makhluk perosak ini.

 

Kesimpulan

Rumah teres yang terbaik mungkin agak mahal dalam pasaran hartanah Malaysia pada masa kini namun begitu jika anda berkemampuan, ianya boleh menjadi ‘syurga’ untuk keluarga anda.

Leave a Comment

Your email address will not be published.