3 KEDAI PERABOT MESRA ALAM DI MALAYSIA YANG BOLEH ANDA LAWATI.

Zaman sekarang ni, memang dah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga alam sekitar daripada terus tercemar. Sebagai pemilik rumah, cara paling terbaik adalah memilih konsep perabot mesra alam. Perabot mesra alam bermaksud perabot yang dihasilkan itu mempunyai kesan negatif yang minimum pada alam sekitar. Antaranya, kayu yang digunakan adalah sumber kitar semula dan juga bahan kimia yang diperlukan dalam proses pembuatan perabot itu tidak membahayakan alam sekitar. Bukan itu je, perabot mesra alam juga boleh digambarkan sebagai perabot yang dibuat dari barang kitar semula dan juga perabot terpakai. Dengan adanya teknologi sekarang ni, anda mampu memiliki perabot yang berkualiti, tahan lasak, dan unik yang pasti tak akan membahayakan alam sekitar. Dengan memilih untuk menghiasi kediaman anda dengan perabot mesra alam, ia mampu membantu memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.

 

Bila nak cari perabot baru, pasti IKEA yang muncul di kepala. Macam tak ada kedai perabot lain kan? Walhal banyak je kedai yang gempak-gempak dan tidak kurang hebatnya kat Malaysia ni. Kebanyakkan kedai seperti ini akan membaik pulih atau kitar semula bahan bagi mengembalikan perabot lama ke penampilan asal dan kemudian tawarkan dengan harga yang berpatutan. Jadi kami senaraikan beberapa tempat yang anda boleh beli perabot murah dengan pelbagai rekaan menarik dan terkini. Paling penting ia dibuat daripada bahan yang berkualiti dan mesra alam. Manalah tahu, anda mungkin menjumpai sesuatu yang bernilai, jom teruskan membaca!

 

  • TWIZS

Dikendalikan oleh pasangan kembar Kenneth Wong Ken lit dan Litat Wong Lit Tat, Twizs sudah mula menapak dalam arena perniagaan sejak tahun 2012 lagi. Memiliki kelebihan sebagai pereka, mereka mengeluarkan produk jenama sendiri seperti perabot, hiasan dalaman dan juga pakaian. Bila dibuat dengan hasil kerja sendiri, sudah tentu mempunyai ciri dan nilainya yang tersendiri.

 

Kelainan perabot keluaran Twizs ini ialah ia sangat mudah dipasang dan dicabut tanpa memerlukan skru. Jadi anda tak perlu bazir masa dan tenaga untuk memasangnya. Antara perabot yang popular ialah meja kopi, rak kecil dan juga pasu bunga. Meja kopi ini sangat sesuai diletakkan di ruang tamu dan juga bilik tidur. Manakala rak kecil comel ini sangat sesuai dijadikan tempat untuk anda letakkan pasu bunga sebagai hiasan dalaman.

 

Bagi menghasilkan produk ini, mereka hanya menggunakan bahan semula jadi seperti tanah liat dan juga kayu getah. Antara produk lain yang dihasilkan ialah meja makan, perkakasan dapur, bantal dan sarung bantal.

 

  • KATTA KAYU

Dikelola oleh pasangan suami isteri, Katta Kayu merupakan jenama perabot yang dihasilkan sendiri oleh usahawan tempatan. Tak asing lagi, perabot keluaran Katta Kayu ini sesuai untuk semua jenis kediaman, restoran, dan juga ruang pejabat. Apa menarik mengenai perniagaan ini sudah tentu apabila mereka membuat perabot menggunakan 70 % kayu buangan atau disebut juga sebagai reclaimed wood yang diperoleh dari kilang.

 

Tujuan utamanya adalah untuk mempertahankan alam semula jadi. Sesuailah dengan dasar teknologi hijau iaitu pembangunan dan aplikasi produk, peralatan dan sistem untuk memulihara alam sekitar dan sumber semula jadi. Bahasa mudahnya ialah memastikan penghasilan perabot ini dapat memelihara dan meminimumkan kesannya kepada alam sekitar. Jadi, reka bentuk perabot yang menarik ini akan diperbuat daripada bahan lestari, organik dan juga bahan kitar semula.

 

Hasilnya, mereka mengeluarkan pelbagai jenis perabot dengan kualiti yang terbaik, mewah, berstail dan juga reka bentuk yang menawan. Harga yang ditawarkan bermula RM280.00 sehingga RM6,296.00 dengan bermacam pilihan yang menarik seperti pelbagai jenis kerusi dan bangku, meja, rak TV, almari, kabinet dan lain-lain.

 

  • RATTAN DÉCOR

Kini, perabot rotan kembali dengan rekaan yang lebih menarik dan sesuai dengan konsep rumah moden. Untuk menjadikan ruang rumah tampil lebih bergaya, disamping masih menitikberatkan penggunaan perabot mesra alam memang rotan lah jawapannya. Terletak di Shah Alam, Rattan Décor menghasilkan reka bentuk perabot dan dekorasi rotan yang klasik dan kontemporari bagi setiap sudut rumah anda.

Ditubuhkan sejak 1990, perniagaan ini juga popular dengan seni anyaman rotan kerana mereka menggabungkan teknologi terkini serta seni pertukangan bagi menghasilkan perabot yang berkualiti tinggi. Kedai ini juga mahir dalam membaikpulih perabot lama menjadi baru. Jangan risau, mereka menawarkan perabot dan hiasan dalaman daripada sofa hinggalah ke dekorasi rumah yang lain seperti set meja makan, lampu hiasan, bakul dobi, rak rotan dan lain-lain. Jadi anda tak perlu bimbang, sudah pasti apa yang anda mahukan ada di kedai ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published.